Ahad, 10 April 2011

Jangan Tinggalkan Al Quran

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu jugalah dengan Kitabullah ini, mereka yang tidak kenal dan tidak memahami isinya serta tujuannya diturunkan tidak mungkin dapat merasakan kecintaan kepada al-Quran. Saya sentiasa merasakan sebab keruntuhan dan kemunduran umat Islam di zaman ini adalah kerana jauhnya mereka daripada al-Quran. Adakah kita mempunyai pilihan samada mahu hidup berpandukan al-Quran atau tidak, samada mahu mencintai al-Quran atau tidak? Anda sendiri tahu jawapannya.
Tatkala Allah menciptakan Adam ‘alayhis-salam dan menurunkannya ke bumi, manusia tidak dibiarkan meraba-raba kehilangan arah dan tidak tahu tujuan hidup. Lantas Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi sebagai orang yang ditugaskan untuk memandu manusia. Untuk umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alayhi wa sallam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita dalam perjalanan menuju ke alam yang kekal abadi. Maka kita tiada pilihan, jika mahu bahagia dan selamat sampai kepada Allah, kita mesti menjadikan al-Quran sebagai petunjuk kita. Dan inilah akibat jika berpaling daripada al-Quran, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 124 yang bemaksud : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.
Lihatlah tatkala Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu kepada Allah akan kaumnya yang meninggalkan al-Quran dalam ayat 30 surah al-Furqan yang bermaksud : “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyebut gejala meninggalkan al-Quran ini terdiri daripada beberapa bentuk [Lihat : Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim] ;
Ketika al-Quran dibacakan, dia bercakap-cakap mengenai perkara lain supaya tidak mendengar al-Quran. Inilah adalah contoh sikap orang-orang Musyrik terhadap dakwah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam.
Tidak mempelajari isi kandungan al-Quran serta tidak berusaha menghafaznya walaupun sedikit.
Tidak beriman dan tidak membenarkan isi kandungannya.
Tidak membaca al-Quran dengan tadabbur (membaca dengan pemahaman dan penghayatan).
Meninggalkan perintah yang disebut dalam al-Quran dan melakukan perbuatan yang ditegahnya.
Melebihkan perkara lain daripada al-Quran; perkataan manusia, lagu, syair dan sebagainya.
Sama-sama kita perhatikan, adakah kita termasuk antara golongan yang disebutkan di atas? Antara salah satu cara untuk mengelakkan kita daripada termasuk golongan yang disebutkan di atas adalah dengan menjadikan membaca al-Quran itu sebagai amalan harian yang mesti kita kerjakan. Luangkanlah sedikit masa untuk kita meneliti ayat-ayat Allah dan fahamilah ia supaya dapat dijadikan panduan. Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun ianya sedikit.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie; dinilai sahih oleh al-Arna-uth]
Oleh itu, saudara2 di luar sana agar banyakkan membaca al-Quran dan jangan sekali-kali meninggalkan membaca al-Quran. Yang paling penting, ia mesti dibaca dengan pemahaman agar kita mendapat faedahnya iaitu menjadikan kita hamba Allah yang kenal Penciptanya dan menjadi Muslim yang ‘celik agama’ dan bukan sekadar Muslim pada nama sahaja. Antara tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk diteliti isi kandungannya seperti maksud firman Allah : “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Shad : 29)
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan ahli al-Quran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan